Kita x-change link ye..Mekasih ^_^

Followers

Wednesday, July 1, 2009

BAGAIMANA MENJADI SUAMI PENGASIH

Bukan mudah untuk melayarkan bahtera rumah tangga jika tidak ada persefahaman dan sikap bertolak ansur di antara pasangan. Sekali melafazkan ijab kabul, boleh dikatakan semua orang mahukan itulah yang pertama dan itulah yang terakhir. Namun, sering kita dengar kasih sayang antara pasangan semakin hari semakin pudar. Semakin banyak bebanan dan semakin ramai anak, maka kasih sayang pun entah ke mana. Jika anda seorang suami yang prihatin dan mahu mengekalkan kemesraan dengan isteri anda, cubalah ikut nasihat di bawah.
Sebagai suami, anda perlulah bersimpati terhadap isteri. Kalau dia seorang suri rumah, percayalah, tekanan perasaannya lebih hebat daripada isteri yang bekerja. Walau pun tidak bekerja, seharian berada di rumah, menguruskan rumah tangga yang tidak pernah habis, mendidik anak, menguruskan hal anda, suami kesayangannya, dalam satu masa, cukup hebat tanggungjawabnya. Begitu juga dengan isteri yang bekerja, selain perlu bertanggungjawab sebagai pekerja, peranan sebagai isteri, ibu dan pendidik perlu dilangsaikan setelah berada di rumah. Mampukah anda sebagai suami melakukan tugas seperti seorang isteri? Tepuk dada tanya selera...
Jika anda seorang suami yang prihatin dan penyayang, ada 10 nasihat untuk memahami hubungan anda dengan isteri. Cubalah amalkan, anda pasti berbangga dengan diri anda sendiri sedikit waktu nanti.
1. Bersikap tegas dan lemah lembut terhadap isteri. Betapa pun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi, memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan dengan seorang lelaki. Jika keinginan mencari perlindungan itu datangnya dari wanita, namun selalunya ia merahsiakannya. Seandainya hajatnya tercapai, ia mengharapkan layanan yang lemah lembut dan amat mengharapkan perlindungan dari lelaki yang bertanggungjawab. Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh lelaki kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumah tangga yang dibina. Menjadi pemimpin bukan bermaksud menjadi 'bos.' Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

2. Memberi pujian terhadap isteri. Peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia perlukan perlindungan dari keyakinan. Hanya suami yang bijaksana dapat memberikan keyakinan kepada isterinya. Dengan cara memberikan penghargaan seperti pujian, hadiah atau pun ungkapan yang boleh menambahkan keyakinan dalam diri isteri. Jangan merasa hairan jika seorang wanita selalu bertanya kepada pasangannya, "Adakah engkau cinta padaku?" Pertanyaan ini bukan bermakna ia tidak percaya kepada pasangannya tetapi ia menginginkan keyakinan untuk dirinya. Oleh itu, suami usah jemu dengan ungkapan itu, malah berusahalah untuk mengerti hakikat seorang wanita.

3. Menentukan batas tanggungjawab. Islam telah mengatur tanggungjawab terhadap suami dan isteri. Suami berkewajipan mencari hafkah yang halal untuk keluarganya dan isteri pula berkewajipan melayan suami serta mengasuh anak-anak. Ini bukan bermakna tanggungjawab lain patut diabaikan, malah semua tanggungjawab lain seharusnya dipikul bersama mengikut keadaan masa dan tempat.

4. Menghindari kritikan terhadap isteri. Kritikan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Ia boleh dilakukan namun biarlah dengan lemah lembut dan bertempat. Jangan sesudah bernikah, suami merasa berhak berkasar, mengkritik dan menghina isteri sewenang-wenangnya kerana banyak kesannya pada isteri. Suami yang terlalu mengkritik isteri akan meninggalkan kesan negatif terhadap isterinya iaitu:-
a) Perasaan isteri menjadi tertekan akibat menahan marah.
b) Menimbulkan pelbagai jenis penyakit fizikal akibat daripada perasaan kecewa dan tekanan
perasaan dan batin.
c) Isteri menjadi pemarah, pendiam, kadangkala hilang keinginan untuk bersama.
d) Akibat selalu dikritik serta tidak dihargai, isteri akan kehilangan identiti dirnya sendiri.
e) Untuk menyenangkan hati, isteri akan menyalahkan anak-anak.
f) Jika perasaannya terlalu tertekan, mungkin ia inginkan penceraian.

5. Peka kepada sesuatu yang romantik. Suami seringkali kurang memerhati atau peka keperluan yang tidak begitu penting seperti ulang tahun isteri, perkahwinan dan sebagainya. Namun bagi wanita, hal sebegitu cukup penting. Cinta bukan hanya berkaitan dengan perasaan tetapi juga berkaitan dengan aktiviti romantik yang mempunyai nilai yang bererti dalam diri wanita. Mungkin sesuatu yang tidak bererti pada lelaki namun, ianya amat bernilai pada wanita. Oleh itu suami harus banyak mempelajari keperluan isteri dan tidak menganggap remeh terhadap kepentingan isteri.

6. Memahami isteri yang ingin selalu di samping suami. Setiap isteri selalu menginginkan serta merindukan untuk selalu bersama suaminya. Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya. Kerana itu, suami yang baik akan berusaha meluangkan masa untuk bersama isterinya. Selalu bersama boleh meningkatkan kasih sayang.

7. Menjaga perasaan tenang dalam kehidupan isteri. Suami yang bertanggungjawab akan selalu memberikan rasa aman dan tenteram terhadap perasaan isterinya, selalu berusaha menyelesaikan setiap masalah rumah tangga dengan secepat mungkin. Berusahalah membantu menyelesaikan masalah isteri.

8. Memahami gelora jiwa isteri. Wanita lebih mudah mengalami perubahan emosi jika dibandingkan dengan lelaki. Jika suami dapat menerima hakikat perubahan emosi isterinya, maka isterinya pasti dapat menerima suaminya sebagai orang yang dapat membimbing hidupnya.

9. Membina kerjasama yang baik. Suami yang boleh diajak berbincang dan selalu bekerjasama dengan isterinya akan mampu mewujudkan keluarga bahagia.

10. Memenuhi keperluan peribadi. Tidak ada dua wanita di dunia ini yang sama, kerana masing-masing memiliki peribadi yang khusus. Wanita mempunyai sifat yang unik baik dari segi emosi mahu pun keinginan. Suami yang bijaksana akan mudah memahami keperluan peribadi isterinya dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan kemampuan dirinya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...